Wednesday 25 January 2012

Serapuh Cinta Lelaki

Pernahkah anda lihat seorang lelaki yang benar-benar jatuh cinta hanya kepada seorang wanita? Kemudian penuh ikhlas dia memelihara cintanya itu dan amat setia memupuknya saban hari?

Memang sukar hendak melihat lelaki benar-benar jatuh cinta hanya kepada seorang wanita. Kalau ada pun, setelah dia merasakan cintanya berbalas, perasaanya mudah terbelah pula pada wanita lain. Namun lelaki masih seorang manusia. Walaupun hatinya keras, ia boleh dengan tiba-tiba menjadi lembut seperti kapas. Ketika itu, dia benar-benar jatuh cinta dan hanya andalah yang terpateri di hatinya.

Apabila lelaki telah benar-benar jatuh cinta, dia akan menumpahkan sepenuh kasih sayangnya kepada wanita yang dicintainya itu. Dia akan berpegang pada janjinya dan sanggup berkorban apa saja agar pilihannya tidak menghilang. Lelaki biasanya jujur dengan cinta pertama dan mula bosan dengan permainan perasaan pada cinta-cinta kedua, ketiga dan seterusnya. Biasanya lelaki yang belum tercemar oleh cinta palsu sang wanita adalah insan paling jujur dalam bercinta. Tetapi sebaik sahaja dia dikecewakan, dia akan bertindak membalas dendam lalu mudah berdusta pada cinta-cinta seterusnya.

Lelaki insan pelik. Dia memiliki keperkasaan tapi runtuh apabila berdepan dengan cinta. Tidak mustahil lelaki sanggup menangis dan merayu-rayu apabila cintanya didustai. Begitulah lelaki, tidak akan berasa sempurna tanpa wanita di sisinya, tetapi tatkala seseorang wanita telah menumpahkan sepenuh ketaatan padanya, kadang-kadang egonya memuncak pula. Kadang-kadang penghargaannya menjadi kurang tetapi apabila ditinggalkan dia akan berasa amat kehilangan dan segera mahukan pengganti.

Lelaki selalunya jujur tapi ramai juga yang berbangga memiliki dua tiga cinta dalam satu masa. Dia berasa gah memiliki dua tiga hati dalam masa yang sama. Ketika itulah dia akan membuat penilaian siapakah yang terbaik antara ketiga-tiganya. Jarang dia hendak berterus terang, selalunya dia bermain cinta dengan ketiga-tiganya serentak hinggalah pada suatu ketika dia akan mengakhiri zaman bujangnya. Dia sanggup mengecewakan wanita-wanita yang dirasakannya kalah dalam pertandingan senyap yang hanya dia mengetahuinya.

Namun, sekeras manapun hati lelaki, dia akan mengalirkan air mata apabila hatinya dilukai. Tapi dia jarang hendak menyelami perasaan wanita yang dilukainya itu, padahal dia tahu sakitnya jika dia sendiri dilukai.

Keegoan lelaki bermula dari awal dan berpanjangan hingga ke akhir. Apabila anda telah merelakan diri untuk dicintai oleh seseorang lelaki fahamilah juga bahawa anda sedang berjinak-jinak dengan keegoannya. Jika harapkan perhubungan anda dengannya sentiasa sentiasa membuahkan tawa, banyak juga air mata anda bakal terderai sama.


Lelaki jujur selalunya menerima nasib yang kurang menyebelahinya. Lelaki jujur mudah terperangkap dalam gerak geri wanita yang hanya mahu berseronok-seronok digilai oleh ramai orang. Lelaki kurang jujur pula akan memperdayakan begitu ramai wanita yang jujur.

Hidup bagaikan seimbang. Antara lelaki dengan perempuan, cinta yang menjadi penambat kadang-kadang tidak berakhir sebagai jambatan penghubung tetapi putus dan runtuh, musnah atau sengaja dimusnahkan oleh satu pihak. Kadang-kadang terikat kemas dan terus bertahan, tapi tatkala jambatan telah direntang, ia goyah oleh taufan.

Hanya pasangan yang berjaya mengukuhkan kembali ikatan akan kekal dengan senyuman.







Membina Rasa Cinta : DR. HM Tuah Iskandar al-Haj

No comments:

Post a Comment